PROGRAM FINISHING SCHOOL: ZERO TO HERO

Program Finishing School: Zero to Hero telah diadakan pada 25 Julai 2022 di Dewan Kuliah 2, UMK Kampus Jeli yang telah dianjurkan oleh JK Pemerkasaan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi. Program ini bertujuan untuk menghasilkan graduan yang holistik dan berkualiti yang dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, dapat menghasilkan graduan yang mempunyai nilai sahsiah yang tinggi selari dengan etika kerja profesional serta mendedahkan pelajar kepada cabaran di alam pekerjaan agar bakal graduan bersedia menghadapinya. Pelajar Tahun Akhir FBKT telah menyertai program ini dengan penceramah jemputannya adalah Encik Nik Mohd Faizal Nik Kamarudin, Pengarah MIDA Negeri Kelantan dan Dr. Wee Yu Ghee, Mantan Pengarah Pejabat Antarabangsa UMK.

Program ini telah dirasmikan oleh Dekan FBKT, Prof. Madya Dr. Muhammad Azwadi Sulaiman. Program ini bermula dengan slot pagi “Kejayaan Melalui Teladan” yang telah disampaikan oleh Encik Nik Mohd Faizal. Antara intipati utama perkongsian ilmu adalah pengalaman kerjaya, persediaan graduan ke alam kerjaya dan latihan industri. Pelajar mesti secara berterusan menambah kemahiran baru, menambah pengalaman baru dan mengenali diri sendiri ke mana halatuju serta bagaimana untuk mencapainya. Dalam slot ini juga, pelajar diingatkan untuk menguasai kemahiran penulisan formal, mengurus kewangan secara berhemah, berfikir positif dan sentiasa melakukan yang terbaik jika mereka ingin menjadi usahawan. Di samping itu, pengalaman bekerja adalah sangat penting dan adalah bagus jika mereka bermula daripada bawah. Sementara itu, slot petang adalah “Aku Ingin Berjaya” yang disampaikan oleh Dr. Wee Yu Ghee. Beliau telah berkongsi tips terbaik dalam menulis resume dan CV yang baik seperti apa yang perlu dan apa yang tidak perlu ditulis serta kesilapan biasa graduan perlu elakkan. Semoga ilmu dan perkongsian daripada kedua-dua penceramah dapat membantu pelajar selepas bergelar graduan kelak.

Dr. Wan Hasnidah Binti Wan Osman